GURU CEMERLANG, MURID GEMILANG

Budaya kerja cemerlang penentu kejayaan transformasi pendidikan

GENTING HIGHLANDS – Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) perlu mempamerkan budaya kerja yang cemerlang, menepati masa dan efisyen bagi menjamin kejayaan hala tuju pendidikan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, selaku pemimpin utama di barisan hadapan, kewibawaan dan komitmen PPD sangat diperlukan agar bergerak selari dengan pendidikan arus perdana.

Tambah beliau, antara aspek penting yang perlu diberi keutamaan PPD ialah kemantapan hala tuju Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai tanda aras peningkatan prestasi pendidikan di daerah masing-masing.

“Dalam konteks Program Transformasi Kerajaan (GTP), KPI bermakna dapat meningkatkan prestasi kerja, kreativiti, inovasi serta kualiti kepimpinan di Pejabat Pelajaran Daerah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Kebangsaan Pengurusan PPD Kali Ke-12 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini baru-baru ini.

Menurut Abd. Ghafar, setiap Pejabat Pelajaran Daerah mempunyai kekuatan sendiri yang boleh dieksploit dengan sebaiknya demi mengangkat martabat, daya saing pendidikan serta kecekapan pengurusan dan pentadbiran organisasi.

“Setiap PPD perlu merangka KPI yang relevan dengan iklim setempat supaya kelak dapat melonjakkan lagi sistem pendidikan negara agar setanding dengan negara maju.

“Peranan dan tangungjawab PPD di peringkat daerah sangat penting bagi memastikan sasaran pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat direalisasikan seiring dengan KPI yang ditetapkan.

“Rakyat atau pelanggan hanya mahu melihat hasil atau produktiviti sebagaimana yang dijanjikan dalam KPI itu,” jelas beliau.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Isa Abu; Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin; Pemangku Pengarah IAB Dr. Naimah Ishak, dan Yang Dipertua Badan Perhubungan PPD Malaysia (PPDM), Aminuddin Adam.

Kata Abd. Ghafar, warga pendidik perlu sedar cabaran pendidikan kini semakin kompleks serta mencabar yang memerlukan satu barisan sumber manusia lebih mantap untuk mengikut arus pembangunan pesat negara.

Justeru, beliau berharap semua PPD sentiasa bersikap profesional bukan sahaja dari segi pelaksanaan tanggungjawab tetapi juga sentiasa menambah baik prestasi dan produktiviti demi melahirkan modal insan yang holistik menepati falsafah pendidikan negara.

SUMBER: RUANGAN PENDIDIKAN UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: