KEMUNCULAN STESEN TV AL-HIJRAH MENDAPAT SAMBUTAN

Selebriti Puji Kemunculan Stesen TV AlHijrah

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Biarpun baru sebulan bersiaran, stesen televisyen percuma (FTA) terbaru TV AlHijrah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak termasuk rakan selebriti.

Menurut pengacara Farrah Adeeba, kemunculan TV AlHijrah mampu memberikan lebih banyak program berinformasi dan bernilai murni untuk tontonan semua lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, lahirnya sebuah stesen televisyen terbaru di Malaysia. TV AlHijrah mungkin digambarkan sebagai salah sebuah saluran televisyen yang sesuai untuk orang Islam tetapi sebenarnya pengisiannya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Sebagai ibu, pastinya saya perlu memantau apa yang anak tonton di televisyen. Alhamdulillah, apabila anak tonton saluran ini, saya tidak bimbang untuk melepaskannya menonton seorang diri kerana semua intipatinya selamat untuk ditonton bukan sahaja kepada orang dewasa malah juga kepada kanak-kanak yang sedang membesar.

“Jadi saya rasa lega apabila mempunyai saluran seperti ini,” katanya yang turut menerbitkan program realiti kanak-kanak berjudul Sekolah Saya Hebat untuk stesen televisyen itu.

Sementara pelakon Ika Zulkifli menganggap TV AlHijrah sebagai satu saluran televisyen yang berbeza.

“Saya rasa TV AlHijrah merupakan saluran televisyen baru yang agak bagus kerana setakat ini kita tidak mempunyai banyak saluran televisyen berbentuk islamik. Yang ada pun Astro Oasis. Saluran TV AlHijrah betul-betul menekankan tentang Islam.

“TV AlHijrah bergerak sendiri dan tidak bergantung dengan stesen televisyen lain,” ujarnya yang turut berlakon dalam beberapa buah drama terbitan stesen televisyen itu.

Dalam pada itu, wartawan penyiaran TV AlHijrah, Divesh Kumar Danial Kalulal berharap TV AlHijrah mampu memberikan impak yang besar dalam industri penyiaran.

“Saya mengharapkan TV AlHijrah boleh memberi impak besar dengan konsep penuh ciri islamik yang akan mendidik semua golongan lapisan masyarakat tentang konsep Islam yang global.

“Seterusnya ia dapat memberi mesej dan pemahaman yang jelas tentang Islam terutama kepada golongan mualaf dan golongan bukan Islam,” komen penyanyi kumpulan Studio Muallaf & Friends ini.

Turut serta memberikan komen tentang TV AlHijrah adalah penyanyi Muadz Dzulkefly dan Leia az-zahra Justin Abdullah.

Bagi Muadz, TV Alhijrah merupakan suatu inisiatif yang amat baik. Jadi, sudah tiba masanya, islamisasi media dalam bentuk yang komprehensif menjadi agenda utama hari ini kerana kekuatan pengaruhnya pada anak muda.

Leia pula berpendapat TV Alhijrah muncul tepat pada masanya yang diharap mampu mensajikan program-program bukan sahaja mendidik jiwa tetapi juga memperlihatkan keindahan sebenar Islam.

Stesen televisyen ini dilancarkan secara rasmi pada Selasa lalu sempena sambutan Awal Muharam di Pusat Penyiaran Digital TV Al-Hijrah, Pusat Islam, di sini.

Stesen tersebut telah bersiaran secara penuh bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Khamis manakala hari Jumaat hingga Ahad pula bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Ia merupakan stesen televisyen pertama di Malaysia yang menawarkan program-program televisyen berdasarkan perspektif Islam yang menyasarkan golongan belia Islam sebagai penonton utamanya.

Saluran televisyen itu juga adalah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan sebuah stesen televisyen yang mampu menjadi sumber ilmu bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada orang bukan Islam bagi membantu mereka mengenali dengan lebih dekat agama itu.

Studio televisyen berkenaan mengadaptasikan konsep terbuka dengan masyarakat dapat melihat secara langsung bagaimana warga kerja TV AlHijrah menjalankan tugas ketika mereka melawat studio tersebut.

Orang ramai boleh mendapatkan siarannya yang dipancarkan melalui saluran UHF melalui butang kawalan frekuensi pada set televisyen masing-masing. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.tvalhijrah.com.

DIPETIK DARI BLOG ‘MELAYUKINI’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: